Sunday, 7 August 2011

..kisah tersentuh..

Actually terbace 1 artikel dr 1 blogger nih.. sgt menyentuh hati .. huhu.. kisah tentang saat berputus cinta ..so nk shared kat sini ..

BILA CINTA PUTUS YANG BENAR DALAM ISLAM..


Cinta secara umumnya dipandang indah oleh manusia. Malah, ada yang terlalu taksub dengannya. Anda boleh panjang-panjangkan leher anda menjengah ke kedai-kedai buku Novel melayu, dan anda akan melihat lambakan karya yang meletakkan nama cinta pada tajuk buku.
Cinta digambarkan mengasyikkan, alam yang penuh bahagia, dan amat manis. Gambaran-gambaran indah ini menyebabkan kebanyakan manusia terburu-buru dalam bercinta. Sedangkan sebenarnya, cinta hanyalah satu sub-alam kepada alam yang sebenar. Cinta masih berkongsi realiti alam yang sebenar. Sebentar anda akan berada di atas, dan sebentar anda akan berada di bawah.
Ada masa, ALLAH akan menguji anda dengan memutuskan alam indah anda itu. Kejadian putus cinta bukanlah satu fenomena asing dalam kehidupan manusia. Dan banyak kejadian buruk berhubungan dengan kes putus cinta juga banyak.
Ada yang mengambil keputusan untuk terus membujang, ada yang mengambil keputusan berpindah ke tempat yang jauh dari tempat dia menjalin cinta, ada yang mengambil keputusan berfoya-foya melupakan segalanya, malah ada yang mengambil jalan buruk dengan membunuh bekas pasangannya kerana terlalu marah atau cemburu, malah, ada juga yang mengambil keputusan membunuh diri sendiri.
Putus cinta seakan-akan mengurangkan komposit akal seorang manusia.
Kenapa?
Cinta memang indah. Tetapi berapa ramaikah manusia yang mempersiapkan dirinya untuk bercinta, dicinta dan mencinta? Berapa ramaikah manusia yang bertanya kepada dirinya, bagaimana dia hendak bercinta? Dengan cara apakah dia hendak bercinta? Berapa ramaikah manusia memuhasabah dirinya, kenapa dia bercinta?
Tiadanya matlamat yang jelas, dengan mengharapkan mimpi-mimpi indah di alam percintaan semata-mata, bukan setakat mendorong manusia ke jalan maksiat ketika bercinta, tetapi seakan telah menyediakan satu gaung yang amat dalam untuk manusia membuang kewarasannya.
Saya, sebagai manusia yang masih muda umurnya, juga jatuh cinta. Cuma mungkin, cinta saya ini agak pelik gayanya. Sebab saya tidak pernah menghubungi perempuan yang saya suka. Sekadar mengikuti perkembangannya sahaja, dan berdoa dari jauh semata-mata, di samping saya berusaha mempertingkatkan diri saya.
Dalam situasi ini pun, saya sentiasa berfikir: Bagaimana agaknya kalau tak dapat dia?
Maka, persediaan minda dan rohani telah saya utamakan semenjak beberapa waktu yang lalu. Sebab saya memahami fenomena cinta yang kita tidak dapat duga keadaannya. Alangkan pasangan suami isteri yang telah berkahwin pun boleh bercerai, apatah lagi pasangan yang bercinta tanpa apa-apa ikatan? Kenapa mesti kita anggap alam cinta itu indah semuanya hingga ke penghujung?
Maka, pada saya, untuk mencegah keburukan apabila cinta kita tidak kesampaian, putus, adalah dengan kita mempersiapkan diri kita, mental dan rohani untuk bercinta. Bila bercinta pula, bercintalah dengan cara yang betul, sebagaimana cinta yang telah syara’ tetapkan untuk kita. Tiadalah kita melanggar batas-batas yang telah ditetapkan ISLAM untuk bercinta. InsyaALLAH, jika kita benar dalam cinta kita, bila ALLAH menggoncang kehidupan cinta kita, kita tidak akan melakukan kerja bodoh untuk melarikan diri dari masalah cinta kita itu.
Orang akan bertanya kepada saya,
“ Itu orang yang dah tahu dia kena sedia sebelum bercinta. Bagaimana dengan orang yang tak tahu, kemudian dia bercinta, lalu cintanya putus. Bagaimana hendak menghadapinya dalam keadaan sedemikian?”
Em…
Untuk orang begini, saya hendak ajak mereka bermuhasabah diri. Sebelum anda hendak berbuat apa-apa, sila tekan butang ‘pause’ dahulu. Kita tengok, jalan apa yang kita hendak ambil.
Hendak ikut gaya macam telenovela? Melarikan diri keluar negara? Bagaimana dengan kerja anda? Bagaimana dengan keluarga yang masih menyayangi anda? Bagaimana dengan sahabat karib yang baik dengan anda?
Hendak membunuh bekas pasangan cinta anda kerana mengikut konsep: Kalau aku tak boleh dapat dia, orang lain pun tak boleh dapat dia? Bagaimanakah anda hendak berhadapan dengan polis selepas itu? Bagaimana anda hendak meneruskan kehidupan yang bahagia selepas anda dicop sebagai penjenayah? Bagaimana anda hendak berpuas hati jika hayat anda berakhir di tali gantung? Lebih teruk lagi, bagaimanakah anda hendak berdiri di hadapan ALLAH nanti?
Hendak kelar urat nadi dalam tandas? Hendak terjun bangunan? Adakah kerana anda putus cinta dengan seorang manusia, anda hendak memutuskan cinta dengan RABB anda yang sentiasa mencintai? Adakah anda hendak memutuskan cinta dengan ibu bapa yang penat menjaga anda sehingga besar? Dan apakah makna kehidupan anda yang mahal ini, jika anda gadaikannya hanya untuk satu cinta kepada manusia biasa?
Lihat. Semua jalan yang hendak diambil, kelihatan seperti penyelesaian, tetapi hanya melarikan diri sahaja, semuanya tidak bermakna. Tidak bermakna untuk diri anda, dan tidak bermakna untuk kehidupan anda. Sia-sia semuanya.
Bila anda putus cinta, pandanglah ke hadapan. Masih ramai manusia yang mencintai anda. Malah, ALLAH tidak pernah putus cintaNya kepada anda. Kenapa, bila anda putus cinta dengan seorang manusia, anda hendak memutuskan cinta segala-galanya? Secara tidak langsung, anda telah memburukkan nama cinta itu sendiri. Cinta anda, hakikatnya langsung tidak sejati. Cinta anda, hanya cinta murahan.
Hiduplah, dan hadapilah. Cinta yang terputus itu, mungkin teguran halus daripada ALLAH SWT. Mungkin ALLAH hendak menyatakan si dia bukan jodoh anda, mungkin juga ALLAH hendak anda muhasabah balik kesilapan-kesilapan yang berlaku sepanjang anda bercinta, mungkin juga ALLAH hendak memberikan anda sesuatu yang lebih baik. Kenapa anda tidak boleh mendidik diri untuk bersangka baik kepada ALLAH?
DIA itu tidak zalim kepada hamba-hambaNya, melainkan hamba-hambaNya lah yang menzalimi diri mereka sendiri.
Maka, marilah kita sama-sama muhasabah kembali. Jangan terburu-buru mengikut emosi. Bergeraklah dengan akal yang telah dianugerahkan kepada kita ini. Cinta itu besar maknanya. Jangan kita kecilkan hanya kepada cinta dua manusia sahaja. Dunia ini luas, jangan kita sempitkan dengan akal pendek kita.
Bergeraklah! Bersedia untuk bercinta, dengan cinta yang sebenarnya!
ps: Saya akan tambah nas-nas Al-Quran. Artikel ini saya  tulis dengan cepat, sebab saya  ada exam. Sekadar memenuhi permintaan NurLulu dan Misz n pada comment post lepas.

indahnye kalau dapat lakukan mcm nih .. setenang air yg mengalir.. huhu.. 


No comments:

Post a Comment


Uploaded with ImageShack.us